GEDONG: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pembangunan pelan induk Mini Ithmus bagi daerah Gedong di sini selari Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu merangkumi pembinaan kemudahan asas bagi pentadbiran daerah termasuk pejabat kerajaan, institusi latihan, kuarters perumahan pegawai kerajaan negeri dan pusat.
"Kita juga akan membangunkan pusat komersil dan juga pusat riadah selain hotel," katanya selepas penyampaian cek pampasan tanah bagi pembangunan terbabit di Dewan Masyarakat Gedong, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kemudahan hotel terbabit perlu kerana menjangkakan ramai pegawai, pensyarah dan pelajar Unviersiti Putra Malaysia (UPM) dan Swinburne University yang akan membuat kajian ilmian dan memodenkan sektor pertanian di kawasan berkenaan dan Simunjan.
"Simunjan adalah pengeluar beras padi khususnya di Lubok Punggor dan apa yang berlaku sekarang ia tidak begitu memuaskan disebabkan prasarana infrastruktur termasuk parit dan tali air," tambahnya.
Selain membaiki sistem parit dan tali air, kawasan Gedong juga akan dibekalkan elektrik, air serta liputan internet yang kuat di samping rangkaian hubungan dengan jalan baharu empat lorong bermula berhampiran Kampung Munggu Kopi, Serian ke Gedong dan bersambung ke Samarahan.
Abang Johari berkata, pembangunan terbabit dijangka menelan belanja berbilion ringgit dan tempohnya sehingga 2030 selari PCDS.
Sumber dari : Jiwa Bakti